MAJLIS PELANCARAN LAMAN SESAWANG RASMI WORLD ROBOT OLYMPIAD (WRO) KUALA LUMPUR 2012
Majlis perasmian laman sesawang rasmi World Robot Olympiad (WRO) Kuala Lumpur 2012 akan diadakan di Dataran Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Putrajaya pada 18 Januari 2012. Majlis pelancaran ini akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Tan Sri Dato' Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin.
Laman web ini dibina khusus untuk menyalurkan maklumat dan hal-hal yang berkaitan dengan WRO 2012 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 9 hingga 12 November 2012. Malaysia menjadi tuan rumah pertandingan robotik bertaraf dunia ini buat julung-julung kalinya setelah 8 tahun pertandingan itu diadakan di beberapa buah negara. Kejohanan kali ini dijangka akan disertai kira-kira 400 pasukan dari 40 buah negara seluruh dunia.
Laman sesawang World Robot Olympiad (WRO) Kuala Lumpur 2012 yang dibina oleh Kementerian Pelajaran Malaysia ini berlatarkan warna kuning, biru, dan merah sebagai melambangkan perpaduan tiga blok utama, iaitu Malaysia, jawatankuasa penganjur, dan cabaran pertandingan.
Sebagai penganjur bersama WRO, Sasbadi Sdn. Bhd. berganding bahu dengan Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Sains Malaysia (MOSTI) menganjurkan Pertandingan Robotik Kebangsaan atau National Robotic Competiton (NRC) di bawah program perkongsian pintar antara pihak kerajaan dengan pihak swasta sejak tahun 2005. Melalui program ini, pelajar bukan sahaja seronok dan teruja mempelajari mata pelajaran sains malah berpeluang mewakili negara dalam pertandingan WRO.
Pada WRO 2011 yang berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, kontinjen Malaysia telah berjaya merangkul tempat ketiga bagi pencapaian keseluruhan. Kontinjen Malaysia membawa pulang satu Pingat Emas, satu Pingat Perak, satu Pingat Gangsa, serta 6 Anugerah Kecemerlangan (Excellence Award). Selain itu, kontinjen Malaysia turut memenangi anugerah khas, Best Technical Award.
Kontinjen Malaysia pernah merangkul gelaran Juara Keseluruhan WRO sebanyak dua kali berturut-turut, iaitu pada tahun 2009 di Pohang, Korea Selatan dan pada tahun 2010 di Manila, Filipina. Layarilah www.wro2012.org untuk mendapatkan segala maklumat berkenaan WRO 2012 di Kuala Lumpur.
SIRI BUKU PEMACU PRESTASI 2012.
SASBADI ADALAH PENERBIT TUNGGAL KSPTL YANG SAH DAN DIIKTIRAF OLEH LPKPM MELALUI YGMB.