Sudah 21 tahun Sasbadi Sdn. Bhd. menerbitkan buku dan bahan bantu mengajar pelbagai media. Berjuta-juta jumlahnya. Kualitinya pula ditingkatkan dari semasa ke semasa. Maka, sudah berjuta-juta jugalah jumlah pelajar yang telah mendapat manfaat daripadanya.
Komitmen besar ini akan diteruskan lagi. Sepanjang tahun kewangan Sasbadi Sdn. Bhd., Mei 2006 hingga Mei 2007, lebih 500 judul buku akan diterbitkan dengan ciri-ciri dan kualiti terkini. Hal ini diumumkan oleh Pengarah Penerbitan Sasbadi Sdn. Bhd. baru-baru ini. Penerbitan ini akan meliputi pelbagai kategori buku. Antaranya termasuklah buku panduan, buku aktiviti, buku penilaian dan pentaksiran, dan bahan bacaan tambahan.
"Kecemerlangan kami sebagai penerbit buku yang berwibawa akan kami tingkatkan. Tanggungjawab sosial terhadap generasi akan datang tetap kami pertahankan. Begitulah matlamat kami dalam dunia penerbitan. Matlamat ini jelas sejak 21 tahun yang lalu. Hal ini demikian kerana dalam setiap penerbitan, kami mengkaji pelbagai aspek daripada pelbagai sudut. Antaranya termasuklah peningkatan kualiti, sukatan pelajaran terkini, piawaian dan keperluan peperiksaan terkini, nilai sosial, dan tidak ketinggalan juga keadaan ekonomi semasa. Kami ingin memastikan hak semua pihak untuk mendapat ilmu pengetahuan tidak terjejas oleh keadaan ekonomi yang terbatas."
Dalam keadaan ekonomi yang sedikit terjejas oleh kenaikan harga minyak dunia, Sasbadi Sdn. Bhd. akan tetap mengawal harga terbitan supaya tidak membebankan masyarakat. Hal ini dijelaskan oleh Pengarah Urusan Sasbadi Sdn. Bhd., Encik Law King Hui.
"Harga terbitan kami pada tahun ini terkawal. Kami sedar bahawa pendapatan dan perbelanjaan ibu bapa tahun ini agak terjejas oleh keadaan ekonomi. Kami akan pastikan harga tersebut bersifat kompetitif agar tidak membebankan ibu bapa. Itulah janji dan komitmen kami."
|