|

KONTINJEN MALAYSIA MERAIH 1 EMAS, 2 PERAK, DAN 2 GANGSA DI WORLD ROBOT OLYMPIAD (WRO) 2008 -PENCAPAIAN TERBAIK SEJAK 2005
SEPANG, 3 Nov. – Kontinjen Malaysia yang menyertai kejohanan World Robot Olympiad (WRO) 2008 di Yokohama, Jepun minggu lalu disambut meriah setibanya di KLIA hari ini berikutan kejayaan cemerlang meraih satu pingat emas, dua pingat perak, dan dua pingat gangsa serta satu Anugerah Pasukan Paling Popular.
Kejayaan ini besar ertinya kepada negara dan menjadi bukti bahawa negara kita mampu bersaing serta berjaya dalam peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, Menteri Pelajaran Malaysia, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein mengucapkan tahniah dan berbangga atas kejayaan besar yang diperoleh kontinjen Malaysia.
Dalam kejohanan yang unggul ini, kontinjen Malaysia menghadapi cabaran daripada pasukan China, Denmark, Hong Kong, India, Jepun, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, Korea Selatan, Sweden, Taiwan, dan Thailand. Walaupun pasukan lawan memiliki kemahiran berteknologi yang lebih maju, kontinjen kita berjaya merangkul pingat emas dalam kategori Senior High Open.
Menurut jurucakap Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di KLIA, pingat emas tersebut dimenangi oleh pasukan SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SULTANAH HAJJAH KALSOM, KUANTAN, PAHANG melalui Kategori Terbuka bertemakan "Selamatkan Alam Sekitar Global" (Saving Global Environment) bagi peringkat Menengah Atas atau Senior High Open Category. Pasukan ini diwakili oleh CIKGU AHMAD BUSHRA BIN ABDUL RAHMAN sebagai mentor dan tiga orang murid, iaitu ABDUL HAKIM BIN AZIR, FAIZ BIN AZIZUL, dan SHAH AIZUDDIN BIN MOHAMED ANUAR.
Sementara itu, pasukan SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN METHODIST, TANJUNG MALIM, PERAK merangkul pingat perak melalui Kategori Terbuka bagi peringkat Menengah Rendah atau Junior High Category. Pasukan ini diwakili oleh CIKGU LAU YOKE YIN sebagai mentor dan murid-muridnya, VIKHNAPRIYA GANESAN, MICHAEL GOH JOON SENG, dan MUHAMMAD AKIF BIN ABU BAKAR.
"Satu lagi pingat perak diperoleh pasukan SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (C) SEBIEW CHINESE, BINTULU, SARAWAK melalui acara Base Runner dalam Kategori Sekolah Rendah. Pasukan itu diwakili oleh CIKGU LEE ZEE MING sebagai mentor dan tiga orang murid, iaitu VICTOR CHONG HOWE, JONG LUNG CHUN, dan TING CHEE KIEK," kata jurucakap KPM itu lagi.
Dalam pada itu, pasukan SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN (C) SENG KEOW, SEBERANG PRAI TENGAH, PULAU PINANG meraih pingat gangsa dalam Kategori Terbuka Sekolah Rendah. Malah pasukan ini turut terpilih menerima Anugerah Pasukan Paling Popular.
Pasukan SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BINTULU, BINTULU, SARAWAK turut melengkapkan pencapaian cemerlang Kontinjen Malaysia apabila menggondol pingat gangsa dalam acara Recycle Keeper bagi Kategori Sekolah Menengah Atas.
Kontinjen Malaysia ke WRO 2008 yang diketuai oleh Pegawai Unit Kokurikulum (Sains dan Teknologi), Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Encik Hassan bin Mohamed ini terdiri daripada enam pasukan bersama-sama dengan guru mentor masing-masing. Mereka terlibat dalam empat kategori pertandingan, iaitu Kategori Sekolah Rendah, Kategori Sekolah Menengah Rendah, Kategori Sekolah Menengah Atas, dan Kategori Terbuka. Kontinjen Malaysia ini turut disertai wakil pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia, iaitu Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Haili bin Dolha.
Kejohanan WRO 2008 yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 2 November di Yokohama, Jepun itu disertai oleh hampir 200 pasukan dari 21 buah negara di seluruh dunia. Daripada 18 pingat yang ditawarkan dalam acara-acara utama, Kontinjen Malaysia telah berjaya merebut lima pingat.
Dalam WRO 2007 di Taipei, Taiwan, Kontinjen Malaysia meraih satu pingat emas, satu pingat perak, dan satu Anugerah Pasukan Paling Popular, di samping sepuluh Anugerah Kecemerlangan. Ketika itu, kontinjen negara terdiri daripada 15 pasukan.
"Sejak menyertai WRO pada tahun 2005, inilah pencapaian terbaik kontinjen negara. Pihak KPM serta Sasbadi Sdn. Bhd. sebagai penaja bersama NRC yang dilantik memberikan khidmat bantu kepada Kontinjen Malaysia ke WRO 2008 amat berpuas hati dan berbangga sekali dengan semangat, komitmen, dan kecemerlangan yang ditunjukkan," kata jurucakap KPM itu.
Sasbadi Sdn. Bhd. merupakan penaja utama NRC yang turut melibatkan kerjasama daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Sains Negara (PSN) dalam program bersama di antara kerajaan dan sektor swasta sejak tahun 2005. Sebagai penaja NRC dan sebagaimana yang telah diamalkan sejak tahun 2005, Sasbadi Sdn. Bhd. menyumbangkan bantuan teknikal dan membiayai sebahagian besar perbelanjaan penyertaan kontinjen Malaysia dalam WRO 2008. Antaranya termasuklah yuran penyertaan, tambang penerbangan, dan belanja penginapan semua peserta dan wakil yang terlibat.

|