Setahun sudah eRevision berada di dunia maya, sejak diluncurkan sekitar bulan November 2007 di www.sasbadi.com. Berdasarkan kajian dari semasa ke semasa tentang jumlah kunjungan ke eRevision, kami sememangnya perlu bersyukur kepada Tuhan. Mengapa tidak? Laporan daripada kajian yang berkenaan menunjukkan bahawa respons atau lebih tepat lagi jumlah pengunjung ke eRevision tidak mengecewakan. Dan hari ini, jumlah pengunjung ke eRevision sudah menjangkau angka puluhan ribu!
Semasa mula-mula eRevision dirancang dan malah sesudah diluncurkan pun, kami memang sering tertanya-tanya. Bagaimana agaknya respons terhadap eRevision? Berapakah jumlah pengunjungnya dan siapakah mereka? Adakah eRevision dapat membantu mereka yang mengharapkannya? Dapatkah eRevision bertahan, dan jika 'ya' jawabnya, berapa lama pula? Sesungguhnya bagi kami, tahun pertama eRevision benar-benar mendebarkan dan tidak kurang juga mengujakan!
Pada tahap awal perkembangannya, yakni sekitar dua bulan pertama, respons terhadap eRevision adalah seperti yang kami jangkakan. Jumlah pengunjung yang melayari eRevision kurang memberangsangkan. Hal ini sebenarnya tidak menghairankan meskipun akses ke eRevision adalah percuma. Hakikatnya, eRevision adalah suatu kemudahan pembelajaran yang baru dibangunkan. Tambahan pula, eRevision dipautkan dengan siri buku ulang kaji UPSR/PMR/SPM – NEXUS. Sebenarnya, siri NEXUS kami jadikan perintis untuk terbitan Sasbadi yang berpaut secara online melalui kemudahan eRevision.
Masa berlalu pantas. Promosi berterusan yang bertujuan memperkenalkan dan mengetengahkan keunggulan siri NEXUS turut menguar-uarkan kewujudan dan kelebihan eRevision. Siri NEXUS UPSR/PMR/SPM mendapat sambutan yang menyenangkan. Kunjungan ke eRevision pula mula menunjukkan peningkatan yang meyakinkan. Dan perkembangan positif yang konsisten terhadap eRevision terus berlanjutan hinggalah ke hari ini.
Biar siapapun anda, baik pelajar, guru, mahupun ibu bapa atau penjaga yang mengunjungi eRevision, terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan atas sokongan yang anda berikan. Sokongan anda yang berterusan amat kami hargai dan malah memperkuat azam dan iltizam kami untuk terus membangunkan serta memperbaik eRevision dengan pelbagai bahan dan input yang berkualiti. Objektif kami ialah eRevision dapat terus memenuhi kehendak serta keperluan pembelajaran para pelajar dalam usaha membantu mencapai kecemerlangan yang diinginkan.
Kepada anda yang sudah dan pernah ke eRevision, teruskanlah melayari kemudahan pembelajaran ini. Kepada anda yang baru mengunjungi eRevision, selamat melayari dan melanggani bahan-bahan yang tersedia di sini. Akhir sekali, kepada semua, "terima kasih daun keladi" kami ucapkan. Moga-moga anda menjadikan eRevision ini "teman studi demi melonjakkan potensi ke prestasi terpuji". |